BUTIR-BUTIR PERIBADI

IRWAN ABU BAKAR ialah nama pena bagi Dr. Ir. Wan Abu Bakar Wan Abas. Lahir di Segamat, Johor pada 11.05.1951. Kelulusan Diploma Kejuruteraan Mekanik (TC, KL), Bachelor of Science (Mechanical Engng) (Strathclyde University, Glasgow, UK), dan PhD (Bioengineeering) (Strathclyde University, Glasgow, UK). Fellow, Academy of Sciences, Malaysia. Bekerja sebagai kakitangan akademik di Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya, 1978-2018, termasuk menjadi Timbalan Dekan dan Dekan, Fakulti Kejuruteraan serta Ketua, Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan. Juga, selepas menjadi Penyelia Kolej Ketiga Universiti Malaya, Irwan dua kali menjadi Pengetua, Kolej Kedua, Universiti Malaya. Pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana (Cerpen Eceren), Hadiah Sastera Johor (Puisi eceran), dan Hadiah Sastera Johor (Buku sastera). Menerima anugerah Tokoh Patria Numera 2017. Jawatan dalam persatuan sastera ialah (a) Presiden, Persatuan Aktivis E-sastera Malaysia (E-SASTERA), dan Ketua I, Gabungan Komunitas Sastra ASEAN (Gaksa).

BUKU UNTUK DIJUAL

Irwan Sebagai Penulis:

30 Februari. Novel.

E-sastera: Teori & Aplikasi. Buku sastera nonkreatif.

Grafiti Hati. Antologi sajak.

Kuntom Ungu . Antologi sajak.

Meja 17. Novel.

Peneroka Malam. Antologi sajak dengan ulasan.

Rewang Minda. Antologi cerpen.

Irwan Sebagai Penulis Bersama:

Deklamasi Puisi (Pengarang bersama Puzi Hadi).

Timeless Love (Bersama George Manos, Ahkarim, dan Ilya Kablam). A collection of modern puntones.

Irwan Sebagai Penerjemah:

Kepemimpinan Muhammad . Biografi Agama.

Irwan Sebagai Penyelenggara:

Aku Pejuang.

APAS (Penyelenggara bersama Hasimah Harun).

Hostel: Debaran Kedua . (Penyelenggara bersama Hasimah Harun).

Hostel: Memento Cinta . (Penyelenggara bersama Hasimah Harun).

Sajen (Penyelenggara bersama Hasimah Harun). Antologi sajak jenaka.

Sirah Rasulullah Dalam Puisi Siber (Penyelenggara bersama Puzi Hadi). Anotlogi sajak.

TAMAT 1.

IRWAN ABU BAKAR. Irwan Abu Bakar (atau Dr. Ir. Wan Abu Bakar bin Wan Abas) dilahirkan pada 11 Mei 1951 di Segamat, Johor.  Isterinya ialah Hasimah Harun dari Pasir Mas, Kelantan. Mereka dikurniakan tujuh orang cahaya mata, lima lelaki dan dua perempuan. 

(2) Pendidikan. Irwan bersekolah rendah dan menengah di Segamat serta mengikuti kursus Tingkatan 6 untuk empat bulan di English College, Johor Bahru, Johor. Kemudiannya beliau telah berpindah untuk mengikuti kursus diploma dalam biidang Kejuruteraan Mekanik di Maktab Teknik, Kuala Lumpur (kini UTM).  Selepas itu, beliau telah melanjutkan pelajaran di University of Strathclyde, Glasgow, United Kingdom untuk mengikuti kursus Bachelor of Science (Mechanical Engineering) dan PhD (Bioengineering). 

(3)  Profesion. Irwan merupakan profesor di Jabatan Kejuruteraan Mekanik (kemudian dipindahkan ke Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan), Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya sehingga Januari 2018. Selepas bersara, beliau telah dilantik sebagai Research Associate di Jabatan yang sama. Irwan pernah menerajui Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya (FKUM) sebagai Dekan sebanyak tiga kali untuk tempoh 10 tahun. Beliau juga telah menerajui penubuhan program ijazah sarjana muda Kejuruteraan Bioperubatan (BBEng) dan kemudiannya pembentukan Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan di FKUM, serta dilantik sebagai Ketua Jabatan yang pertama bagi Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan FKUM itu. Melalui proses yang berkenaan, Irwan menjadi pengasas pendidikan kejuruteraan Bioperubatan di Malaysia. Selepas itu, beliau telah terlibat sama dalam pembentukan program sarjana muda Kejuruteraan Bioperubatan (Prostetik dan Ortotik), ringkasnya BBEng (P&O), di Jabatan yang sama. Di samping itu, beliau juga telah menerajui pembentukan Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya dari empat program alam bina yang mulanya beroperasi di bawah Fakulti Kejuruteraan. Beliau juga telah terlibat dalam pengkomersialan hasil penyelidikan di makmal prostetik dan ortotik dengan bersama-sama membangunkan syarikat terbitan Universiti Malaya, BioApps Sdn Bhd yang mengendalikan perniagaan pembekalan dan perkhidmatan prostesis (anggota badan buatan) dan ortosis (alat sokongan anggota badan). 

(4) Persatuan Profesional. Di luar tugas rasminya, beliau memimpin persatuan-persatuan profesional kejuruteraan pada peringkat nasional, iaitu Persatuan Kejuruteraan Perubatan dan Biologi (MSMBE) sehingga 2015 serta Persatuan Prostetik & Ortotik Malaysia (PPOM) dan Persatuan Biomekanik Malaysia sehingga sekarang. Irwan juga ialah Fellow, Academy of Sciences, Malaysia (FASc). 

(5) Kegiatan Sastera. Irwan mempromosi konsep “whole-brain thinking” sebagai jurutera yang terlibat secara aktif dalam bidang sastera. Beliau telah menerbitkan pelbagai karya sastera dan pernah memenangi beberapa anugerah sastera tempatan. Di samping itu, beliau diiktiraf di Malaysia sebagai pengasas kegiatan sastera siber (atau e-sastera) Melayu. Portal sasteranya dilanggani penulis dari pelbagai negara. Terkini beliau menguruskan portal sastera E-sastera Vaganza ASEAN terbitan Esastera Enterprise untuk Gabungan Komunitas Sastra ASEAN (Gaksa).

(6) Penerbitan Cetakan Keras.  Irwan mula menerbitkan puisi di media cetak pada tahun 1995 (”Diasfora Alam Bahasaku”, Pelita Bahasa, Februari 1995). Sehingga kini, Irwan telah menerbitkan dua buah kumpulan sajak di Malaysia, iaitu Semelar (2003) dan Kuntom Ungu (2012). Juga beliau telah menerbitkan kumpulan puisi di Indonesia, iaitu Grafiti Hati (2016) dan sebuah buku kumpulan “puisi berserta ulasan”, iaitu Peneroka Malam (2014). Beliau juga terlibat secara aktif dengan deklamasi puisi, terutamanya di Malaysia dan Indonesia. Irwan mula menerbitkan cerpen pada tahun 2002 (”$yy…”, Berita Minggu, 25 Mei 2003). Pada tahun 2016, beliau menerbitkan kumpulan cerpen Rewang Minda yang mengandungi 18 buah cerpen tulisannya. Cerpen-cerpen itu kebanyakannya telah tersiar terlebih dahulu di laman-laman web tertentu. Novel pertama tulisan Irwan berjudul Cinta Berbalas Di Meja 17 (2008). Edisi-edisi terkemudian novel itu diberi judul Meja 17 (2012, 2015, dan 2016). Edisi Indonesia novel ini telah diterbitkan di Jakarta pada tahun 2014, juga dengan judul Meja 17. Pada tahun 2018, Irwan menerbitkan novel keduanya. Novel itu berjudul 30 Februari dan telah diterbitkan di Cilegon, Banten, Indonesia (Mei, 2018). Karya eceren Irwan berupa sajak dan cerpen telah diterbitkan dalam pelbagai majalah dan akhbar sejak 1995, termasuk majalah Dewan Sastera serta akhbar Berita Minggu (kini dinamai Berita Harian Ahad) dan Mingguan Malaysia (kini sudah diberhentikan penerbitannya). Di samping itu, Irwan merupakan penyelenggara dan penyelenggara bersama bagi beberapa buah antologi puisi, antologi cerpen, dan novel bersama. 

(7) Penerbitan Portal Sastera. Kini Irwan meneruskan penerbitan e-majalah sastera (majalah sastera dalam Internet), eSastera.com (www.e-sastera.com) yang bermula pada tahun 2002 tetapi dengan format baru. Majalah itu kini mempunyai cawangan di Facebook.com dalam bentuk grup-grup facebook yang dibentuk di bawah akaun facebook E-Sastera Malaysia. E-majalah itu dinamai E-Sastera@Facebook dan dibentuk oleh grup ”E-Sastera@Facebook Induk” sebagai grup kawalan dan pelbagai grup karya berasaskan genre. Antaranya ialah grup E-Sastera Sajak, E-Sastera Cerpen, E-Sastera Novel, E-Sastera Kritikan, E-Sastera Berita (Pemberitahuan dan Laporan), dan E-Sastera Forum. Butir-butir tentang e-majalah E-Sastera@Facebook diberikan dalam buku berjudul Panduan Pengguna E-Sastera@Facebook (Esastera Enterprise, 2015). Mulai 2019, kehadiran di Facebook itu ditambah dengan grup “E-sastera @ Facebook Karya” yang memanfaatkan penggunaan hashtag # untuk memisahkan genre karya yang disiarkan. Grup ini kemudiannya ditukar nama kepada Majalah Esastera @ Facebook. Sebelum itu, Irwan menerbitkan e-majalah eSastera.Karya (di URL eSasteraKarya.com atau eSasteraKarya.WordPress.com) untuk mempromosikan format sastera elektronik yang melebihi apa yang mampu dihidangkan di Facebook. E-majalah ini juga dikongsi ke Facebook untuk menarik pelanggan yang banyak di situ. Portal unik yang pernah diterbitkannya tetapi telah ditutup pada masa ini ialah tivi-Sastera (www.eSastera.tv). Mulai 2012, eSastera telah menerokai bidang ”sastera Twitter” dengan nama @tSastera (namanya di laman Facebook ialah Twit Sastera). Mulai 2019, melalui GAKSA, Irwan menerbitkan portal e-karya sastera peringkat ASEAN yang dinamai E-sastera Vaganza ASEAN (mulanya di URL http://www.SasteraVaganza.net, kemudian ditukar ke URL http://eSasteraVaganza.com).  Karya di portal ini dikongsi ke Facebook dalam grup “GAKSA e-Sastera.Vaganza ASEAN”. 

(8) Penerbitan Produk Audio. Irwan juga telah menubuhkan GLP (Grup Lagu Puisi eSastera) yang bernaung di bawah syarikat eSastera Records (Pengurus: Dinie Wan). GLP telah menerbitkan dua buah album penuh lagu-lagu puisi, iaitu Perada Cinta (2014) dan Dot Dot Dot (2016). Beberapa buah singles juga telah diterbitkan. Malah lagu puisi nyanyian GLP berjudul “Terus Berlari” telah dijadikan lagu korporat syarikat BioApps Sdn Bhd, sebuah syarikat terbitan Universiti Malaya yang merupakan pembuat dan pembekal perkhidmatan dalam bidang prostetik dan ortotik.

(9) Anugerah Sastera. Anugerah sastera yang pernah dimenangi Irwan ialah (a) Hadiah Sastera Johor 2019 (Buku Sastera), (b) Tokoh Patria Numera 2017, © Hadiah Sastera Darul Takzim 2007-2008 (Puisi Eceren), dan (d) Anugerah Sastera Perdana Malaysia 2004-2005 (Cerpen Eceren). Beliau juga pernah menjadi Editor Bersekutu bagi majalah Dewan Sastera terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia. 

(10) Gerakan Sastera. Iran diiktiraf pelbagai pihak sebagai pelopor gerakan sastera siber (atau e-sastera) di Malaysia. Irwan memulakan gerakan sastera siber pada Februari 2002 melalui portal eSastera.com (kini dinamai e-Sastera.com). Gerakan itu dikenali masyarakat sebagai gerakan e-Sastera.com. Mulai tahun 2003, gerakan itu mengeluarkan anugerah sastera yang dinamai Hadiah e-Sastera.com (atau HesCom), dengan anugerah pertamanya ialah Anugerah Penyair Alam Siber (atau APAS) dan Anugerah Sajak Jenaka Alam SIber (ASJAS). Anugerah tertinggi yang dikeluarkan melalui HesCom ialah Anugerah Sasterawan Alam Siber, dengan penerimanya menggunakan gelaran SAS pada nama mereka. Pada masa yang sama, Irwan telah menubuhkan syarikat penerbitan Esastera Enterprise (yang mulanya dinamai kAPAS Publication). Dalam persatuan penulis, Irwan ialah Presiden, Persatuan Aktivis E-Sastera Malaysia (E-SASTERA) sejak didaftarkan pada tahun 2010. Portal utamanyanya adalah di http://esastera.org (kini ditukar ke http://esastera.blog). Irwan juga pernah menyandang jawatan Timbalan Presiden, Persatuan Sasterawan Numera (Nusantara Melayu Raya), Malaysia, dan juga pernah menjadi Bendahari, Jawatankuasa Protem, Persatuan Sasterawan Paksi Rakyat (PAKSI). Pada tahun 2016, Irwan telah menubuhkan gerakan sastera pada peringkat ASEAN yang dinamai Gabungan Komunitas Sastra ASEAN (Gaksa), (dengan portalnya GAKSA BLOG di http://gaksa.blog). Secara serentak, Irwan juga menubuhkan syarikat penerbitan di Cilegon, Banten, Indonesia dengan nama Gaksa Enterprise. Mulai 2019, GAKSA menerbitkan portal e-karya E-sastera Vaganza ASEAN yang dinyatakan dalam item 7 di atas. Pada tahun 2016 juga, serentak dengan penubuhan GAKSA, Irwan menubuhkan gerakan e-sastera pada peringkat global yang dinamai World Association of Literary Communities (WALC).

TAMAT.